Pandemik Covid-19 mendatangkan cabaran baharu untuk setiap individu. Tidak terkecuali, para wanita yang hidupnya tenang menguruskan keperluan keluarga, mendadak diuji dengan kematian suami akibat wabak. Tidak terlupakan, wanita yang diuji dengan penceraian, kehilangan pekerjaan, ataupun diberi dugaan kesihatan pada ketika wabak itu melanda dunia. Sekalipun ditekan dengan hidup yang keras, wanita-wanita ini memilih untuk berdegil dan bangkit melawan. Tangisan mereka hanya seketika, kerana ada mulut yang perlu disuap, ada keluarga yang perlu dibela dan ada tanggungjawab untuk digalas. Keperitan hidup bukan lagi isu utama. Perintah Kawalan Pergerakan juga bukan penghalang untuk mereka bangun. Satu pintu tertutup, mereka minta Tuhan membukakan pintu lain, dengan jalan usaha. Mereka inilah, wanita-wanita yang bangkit, atas tiket tanggungjawab, bahawa mereka adalah tonggak keluarga.