SEKAPUR SIRIH, SEULAS PINANG
Telah berkata Imam al-Syafi’e
“Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat”.
Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat ilahi dengan limpah dan kurniaNya dapat kita bersua menerusi laman sesawang Institut Sosial Malaysia (ISM). Meneruskan khidmat bakti, jasa dan budi kepada masyarakat, Institut Sosial Malaysia (ISM) terus mengorak langkah sebagai peneraju kecemerlangan unggul bagi pembangunan kesejahteraan sosial. ISM bertekad untuk memperkasakan masyarakat yang kompeten melalui pembangunan kapasiti bagi memartabatkan perkhidmatan sosial di Malaysia.
ISM beriltizam memacu pembangunan sosial yang strategik dan memperkasakan profesionalisme pekerja sosial melalui pembangunan latihan yang berkualiti. Seterusnya mendaya-upayakan komuniti ke arah perkhidmatan sosial yang inklusif bersesuaian dengan misi ISM iaitu menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam bidang sosial dan pembangunan sosial melalui penyediaan latihan, penyelidikan, penerbitan dan kolaborasi strategik.
Sementelah itu, ISM sebagai sebuah Institusi Latihan Awam (ILA) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berperanan meningkatkan kemahiran dan kompetensi pekerja sosial, badan bukan kerajaan dan orang ramai serta membudayakan kajian dan penyelidikan. ISM juga merupakan pusat repositori bagi kajian-kajian dan penerbitan yang akan membantu dalam membentuk dasar-dasar yang bersesuaian dengan hala tuju KPWKM. ISM juga berperanan sebagai pusat rujukan silang ilmiah pada masa hadapan dalam bidang sosial di Malaysia.
Sesungguhnya dalam membangunkan jati diri dan minda masyarakat yang berpengetahuan tinggi, kolaborasi strategik dan perkongsian pintar antara Kerajaan, korporat, Institusi Pendidikan Tinggi, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan dan pihak swasta terus diperhebatkan. Jaringan kerjasama strategik yang kukuh mampu memangkin ilmu dan kepakaran seterusnya melatih dan membimbing pekerja sosial Malaysia yang berkemahiran, dinamik dan terampil.
Maka dengan itu, ISM sentiasa melestarikan latihan menerusi prasarana sedia ada secara fizikal mahupun maya. ISM terus komited membangunkan kemahiran, keupayaan dan bakat, menyediakan kemudahan latihan yang kondusif serta modul latihan yang terkini dalam memastikan perjalanan ilmu ini mudah diterima oleh masyarakat. Kendati pun dalam pembangunan sosial yang rencam, ISM telah mengambil kira cabaran dan halangan tersebut seterusnya membangunkan keperluan operasi hariannya mengikut keperluan semasa.
Dengan hal yang sedemikian, ISM percaya bahawa ilmu dan kemahiranlah menjadi pemangkin utuh dan bertahan lama untuk membangunkan masyarakat yang cakna seterusnya mencapai kesejahteraan untuk Malaysia yang maju dan berjaya. Sesuai dengan pesanan Saidina Ali bin Abi Talib, “ilmu boleh menjaga kita, sedangkan harta itu, kita yang menjaganya.”
Semoga kunjungan maya di laman sesawang ISM ini memberikan manfaat serta menjadi asbab kepada pengunjung untuk mencarik secebis maklumat dan perkhidmatan yang disediakan oleh Institut Sosial Malaysia.
Institut Sosial Malaysia (ISM) institusi latihan terunggul dalam kerja sosial di Malaysia.
Ilmu • Sejahterakan • Masyarakat
Terima kasih.
Dr. Faridah binti Awang
Pengarah
Institut Sosial Malaysia