Prosiding ini merupakan himpunan kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan Kerja Sosial Kebangsaan Kedua 2023 yang berlangsung pada 13 dan 14 September 2023 di Institut Sosial Malaysia anjuran Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia dan Institut Sosial Malaysia. Persidangan ini merupakan persidangan kali kedua yang dianjurkan oleh SAPSP berkaitan kerja sosial dan isu-isu sosial semasa.
Kerja sosial sebagai satu profesion perlu berkembang untuk memenuhi keperluan individu dan komuniti yang kerap berubah seiring dengan perkembangan semasa. Kehidupan masyarakat yang berubah semasa dan selepas Pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa dunia kini bergerak ke arah satu ekososial baharu. Justeru, kertas kerja yang dibentangkan di dalam persidangan ini menyentuh isu-isu dan masalah sosial seperti kebajikan dan perlindungan kanak-kanak, kebajikan warga emas, orang kurang upaya, rehabilitasi, koreksional, isu kesihatan dan kesihatan mental, golongan terpinggir, pengurusan bencana dan lain-lain. Kupasan yang diberikan oleh para penulis dan pembentang merupakan input yang diperlukan dalam menambah baik profesyen ini agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada klien-klien di dalam komuniti.