Kajian ini dilaksanakan bagi memberikan gambaran menyeluruh, terkini, dan berasaskan bukti mengenai penyertaan wanita dalam sektor informal dan pekerjaan informal di Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa fleksibiliti masa merupakan faktor pendorong utama yang menarik wanita untuk bekerja dalam sektor informal. Faktor ini membolehkan mereka menyeimbangkan tanggungjawab penjagaan anak, keluarga dan kerja. Selain itu, keperluan ekonomi yang mendesak, tahap pendidikan yang terhad, cabaran memasuki pasaran kerja formal serta norma budaya tertentu turut memainkan peranan penting dalam penyertaan mereka.Hasil daripada kajian ini menunjukkan keperluan strategi dan intervensi yang holistik, berasaskan bukti dan berpaksikan realiti hidup untuk meningkatkan daya saing serta kesejahteraan wanita dalam sektor informal dan pekerjaan informal di Malaysia.