Program Rintis Diversion adalah satu inisiatif yang dikemukakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan dipersetujui oleh Pejabat Peguam Negara (AGC). Usaha untuk mengadakan Program Rintis ini bermula sejak tahun 2013 dengan pelbagai mesyuarat serta bengkel-bengkel pengenalan dan latihan mengenai Diversion yang dikendalikan oleh pakar-pakar Diversion dari luar negara seperti England dan Wales, Australia, New Zealand dan Hong Kong. Susulan dari bengkel-bengkel yang diadakan, mesyuarat antara agensi telah giat berjalan termasuk lawatan kerja oleh AGC ke Singapura untuk memahami lebih jelas perjalanan proses Diversion serta pengendalian kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang. Sebuah Prosedur Operasi Standard antara Agensi telah dibangunkan oleh pihak KPWKM, AGC, PDRM dan JKM dengan diberi sokongan teknikal oleh UNICEF.