Kajian Tinjauan Mengenai Persepsi dan Tahap Pengetahuan Masyarakat terhadap Keganasan Rumah Tangga di Malaysia

Satu kajian telah dilakukan untuk mengetahui persepsi dan mengenalpasti tahap keganasan rumah tangga yang berlaku dalam negara. Perbezaan persepsi dan pengetahuan antara individu berkahwin dan belum berkahwin terhadap keganasan rumah tangga juga dianalisis bagi mencadangkan inisiatif sosial sekaligus mengurangkan kadar keganasan rumah tangga yang berlaku. Kajian ini dilaksanakan menggunakan pendekatan kuantitatif melalui kaedah tinjauan dengan mengedarkan borang soal selidik kepada individu yang berumur 18 tahun ke atas di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Hasil kajian mendapati majoriti responden kajian ini mempunyai persepsi dan tahap pengetahuan yang tinggi terhadap isu keganasan rumah tangga (KRT). Bukan itu sahaja, hasil kajian yang diperolehi mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara persepsi dan tahap pengetahuan individu yang berkahwin dan belum berkahwin terhadap keganasan rumah tangga. Dapatan kajian yang diperolehi menggambarkan bahawa peningkatan kes keganasan rumah tangga yang berlaku adalah disebabkan oleh persepsi dan tahap pengetahuan masyarakat yang semakin meningkat.