Kajian Keberkesanan Peranan Job Coach Membantu Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) Dalam Sektor Pekerjaan

Kajian ini dijalankan bagi menilai keberkesanan peranan Job Coach dalam menyokong pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) di sektor pekerjaan di Malaysia. Pekerjaan merupakan elemen penting bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan sosial OKU, namun kadar penyertaan mereka dalam pasaran kerja masih rendah akibat pelbagai halangan seperti kekangan kemahiran, akses pekerjaan terhad, serta persepsi negatif majikan.

Kajian Keberkesanan Kursus Yang Dilaksanakan Oleh ISM

Kajian ini menilai keberkesanan kursus ISM secara menyeluruh, mengukur sejauh mana kursus tersebut mencapai matlamat yang ditetapkan dari segi peningkatan kemahiran, pengetahuan dan kompetensi peserta, meneliti isu serta cabaran dalam pelaksanaannya, dan seterusnya mencadangkan input strategik kepada ISM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam memperkukuh kurikulum, metodologi latihan, dan sistem penilaian agar lebih relevan, berkesan, serta memberi impak tinggi terhadap pembangunan sosial negara.

Kajian Tahap Pemahaman Wanita Terhadap Hak dan Proses Penceraian

Kajian ini bertujuan menilai tahap pemahaman wanita tentang hak mereka, mengenalpasti isu dan masalah yang mereka hadapi dalam proses perceraian serta meneliti isu-isu dalam perkhidmatan yang diberikan oleh agensi kerajaan dalam proses perceraian. Penyelidikan ini menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif dalam mengumpul dan menganalisis data dan merekrut responden dalam kalangan wanita yang sedang atau pernah melalui proses perceraian dan juga pemegang taruh yang lain seperti agensi kerajaan, pengamal undang-undang dan organisasi masyarakat sivil.

Kajian Keberkesanan Perkhidmatan Jagaan Dan Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Di Rumah Perlindungan DI bawah Seliaan KPWKM

Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan perkhidmatan sedia ada di Rumah Perlindungan (RP) dalam memenuhi keperluan mangsa, meneliti peranan pelindung dan kakitangan dalam meningkatkan kemandirian mangsa, mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi serta mencadangkan syor penambahbaikan berasaskan amalan terbaik antarabangsa.

Kajian Penyertaan Wanita Dalam Sektor Informal Dan Pekerjaan Informal

Kajian ini dilaksanakan bagi memberikan gambaran menyeluruh, terkini, dan berasaskan bukti mengenai penyertaan wanita dalam sektor informal dan pekerjaan informal di Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa fleksibiliti masa merupakan faktor pendorong utama yang menarik wanita untuk bekerja dalam sektor informal. Faktor ini membolehkan mereka menyeimbangkan tanggungjawab penjagaan anak, keluarga dan kerja.

Kajian Keberkesanan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia telah melancarkan pada tahun 2020 satu Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selama lima tahun, yang akan berakhir pada tahun 2025. Kajian ini bertujuan untuk menilai keberkesanan pelan tersebut dalam menangani punca-punca perkahwinan bawah umur di Malaysia serta mencadangkan penambahbaikan berasaskan dapatan empirikal.