Kajian yang dijalankan ini adalah untuk mengkaji keberkesanan kerja sosial dalam pengurusan bencana oleh agensi JKM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Lokasi kajian adalah negeri Sabah, Selangor dan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kajian ini telah bermula pada bulan Mei 2022 dan berakhir pada bulan September 2022. Reka bentuk kajian adalah mixed methods menggunakan exploratory sequential design melibatkan tiga fasa penting iaitu fasa kualitatif menggunakan metod temu bual kumpulan berfokus, fasa interim (iaitu pembentukan instrumen) dan fasa kuantitatif menggunakan kaedah tinjauan iaitu pengedaran borang soal selidik secara atas talian. Bagi kajian kualitatif, dua kelompok peserta kajian telah dibentuk bagi setiap lokasi kajian iaitu kelompok staf JKM/JPKA yang mengendalikan pengurusan bencana di daerah/negeri masing-masing. Satu kelompok lagi ialah kelompok mangsa bencana iaitu individu-individu, keluarga, komuniti/masyarakat yang pernah mengalami dan berhadapan dengan bentuk-bentuk bencana di tempat bermastautin mereka masing-masing dan pernah ditempatkan di PPS.