Kajian Penilaian Keberkesanan Program Pemulihan dalam Komuniti

Kajian ini menyasarkan beberapa negeri yang mempunyai bilangan PDK yang banyak dan ianya mewakili lima zon di Malaysia. Negeri-negeri tersebut adalah Perak, Selangor, Pahang, Johor dan Sarawak. PPDK di Perak mewakili zon utara, PPDK di Selangor mewakili zon Tengah, PPDK di Johor mewakili zon Selatan, PPDK di Pahang mewakili zon Timur dan Sarawak mewakili zon Malaysia Timur Pembahagian tugasan diantara ahli-ahli adalah berdasarkan lima negeri yang telah dinyatakan oleh pihak Institut Sosial Malaysia. Diskusi Kumpulan Berfokus akan diketuai oleh ketua penyelidik.

Kajian Keberkesanan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) kepada Mangsa Keganasan Rumah Tangga (KRT)

Keganasan rumah tangga (KRT) adalah satu jenayah dalam komuniti. Statistik kes KRT yang dikeluarkan oleh PDRM menunjukkan terdapat 5,260 kes KRT pada tahun 2020, 7,468 kes pada tahun 2021, 6,540 kes pada tahun 2022 dan 3640 kes sehingga Ogos 2023. Terdapat tiga(3) usaha yang dilaksanakan dalam negara bagi membantu mangsa KRT dalam negara; iaitu perintah perlindungan interim (IPO), perintah perlindungan (PO) dan perintah perlindungan kecemasan (EPO). Namun begitu, kajian ini hanya memfokuskan kepada EPO sahaja. 

Keberkesanan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita

Dasar Wanita Negara (DWN) yang diperbaharui pada tahun 2009 secara jelas mendukung cita-cita untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan mampan. Ia juga mengambil inspirasi daripada komitmen negara terhadap beberapa instrumen antarabangsa iaitu CEDAW, Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) serta Deklarasi Putrajaya dan Program Tindakan Mengenai Pembangunan Wanita Dalam Negara Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM Putrajaya Declaration).

Keberkesanan Kerja Sosial dalam Pengurusan Bencana oleh Agensi JKM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)

Kajian yang dijalankan ini adalah untuk mengkaji keberkesanan kerja sosial dalam pengurusan bencana oleh agensi JKM di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Lokasi kajian adalah negeri Sabah, Selangor dan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kajian ini telah bermula pada bulan Mei 2022 dan berakhir pada bulan September 2022.

Kajian Tinjauan Mengenai Persepsi dan Tahap Pengetahuan Masyarakat terhadap Keganasan Rumah Tangga di Malaysia

Satu kajian telah dilakukan untuk mengetahui persepsi dan mengenalpasti tahap keganasan rumah tangga yang berlaku dalam negara. Perbezaan persepsi dan pengetahuan antara individu berkahwin dan belum berkahwin terhadap keganasan rumah tangga juga dianalisis bagi mencadangkan inisiatif sosial sekaligus mengurangkan kadar keganasan rumah tangga yang berlaku. Kajian ini dilaksanakan menggunakan pendekatan kuantitatif melalui kaedah tinjauan dengan mengedarkan borang soal selidik kepada individu yang berumur 18 tahun ke atas di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Kajian Keberkesanan dan Pemerkasaan Penubuhan Independent Living Centre (ILC)

Program perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari (Independent Living Centre) (ILC) kepada Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan sebuah program yang menawarkan perkhidmatan asas untuk memperkasakan komuniti OKU di Malaysia. Program ini memberi tumpuan kepada aspek penentuan matlamat kendiri dan kemahiran kehidupan berdikari supaya komuniti OKU lebih bersedia untuk memulakan kehidupan seharian. Berdasarkan hal ini, komuniti OKU memiliki tanggungjawab sepenuhnya ke atas diri sendiri dan mereka diberi penghormatan sebagai individu dalam masyarakat di negara ini.

Kajian Hubungan Konflik Kewangan Terhadap Kesejahteraan Sosial Wanita dalam Isu Keganasan Rumah Tangga

Objektif utama kajian ini adalah untuk memahami aspek ekonomi dan kewangan dalam keganasan rumah tangga daripada perspektif wanita yang terlibat dengan keganasan rumah tangga. Bagi merungkai isu-isu ekonomi dan kewangan ini, maklumat daripada mangsa keganasan rumah tangga dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diperoleh menerusi pendekatan kuantitatif, menggunakan borang soal selidik dalam bentuk google form dan juga pendekatan kualitatif berdasarkan temuduga dan perbincangan kumpulan berfokus.

Kajian Kesihatan Mental Wanita yang Menghadapi Diskriminasi di Tempat Kerja

Dua belas hipotesis telah dibina sebagai asas kepada kajian ini yang berbentuk tinjauan di lapangan dalam bentuk soal selidik untuk mencapai objektif bagi mengenal pasti keadaan semasa jenis diskriminasi di tempat kerja untuk golongan wanita di samping mengetahui peranan dan implikasinya terhadap kesihatan mental mereka. Populasi kajian ini ialah 5.1 juta wanita bekerjaya di Malaysia dan saiz sampel yang digunakan untuk pelaporan analisis adalah 411. Teknik yang digunakan ialah persampelan rawak mudah dalam pengumpulan data.

Kajian Mengenai Tahap Kesejahteraan Ekonomi serta Kaedah Alternatif Bagi Kelangsungan Hidup OKU (Penerima Bantuan JKM) semasa Tempoh PKP di Lembah Klang

Penyelidikan ini dijalankan untuk mengetahui tahap Kesejahteraan Ekonomi OKU (penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Isu yang diketengahkan membawa kepada alternatif untuk kelangsungan hidup OKU. Lima hipotesis telah dibina sebagai asas kepada kajian ini yang berbentuk tinjauan lapangan dan melibatkan beberapa siri temu bual. Populasinya ialah 134,807 OKU di Lembah Klang dan saiz sampel ialah 384. Teknik yang digunakan ialah persampelan rawak mudah dalam pengumpulan data.